Saturday, February 16, 2013

Bahan Kimia Dalam Makanan

Banyak bahan kimia diambil pada setiap hari melalui makanan termasuklah bahan pewarna, bahan pengawet dan bahan perasa. Penggunaan bahan kimia dalam makanan yang diproses menjadi semakin penting. Walaubagaimanapun, penggunaannya secara yang tidak betul akan menimbulkan kesan sampingan kepada pengguna.

KEPENTINGAN BAHAN KIMIA

Bahan kimia digunakan untuk menggantikan penggunaan bahan asli. Penciptaan bahan perasa tiruan telah dapat menggantikan penggunaan bahan asli dalam membuat sesetengah bahan makanan. Sebagai contoh bahan tiruan yang digunakan dalam membuat aiskrim yang pelbagai rasa.

Bahan kimia digunakan bagi menambah keenakan makanan.Penggunaan bahan perasa seperti MSG yang ditambah dalam makanan segera atau makanan ringan menjadikan makanan lebih enak. Penggunaan bahan pewarna dalam makanan juga menjadikan makanan yang dihasilkan kelihatan lebih menarik. Sebagai contoh, mi dan kuih muih yang menggunakan pewarna tertentu nampak lebih menarik.

Bahan kimia membantu mengekalkan kesegaran makanan. Penggunaan bahan pengawet dalam industri makanan dapat mengekalkan kesegaran makanan tersebut dalam jangka panjang. Bahan pengawet yang digunakan dapat mengekalkan nisbah kelembapan dan mengawal kerosakan.

Bahan kimia membantu aktiviti memproses makanan. Adanya bahan kimia seperti pengawet telah menggalakkan pertumbuhan industri hiliran yang berasaskan pertanian, penternakan dan hasil laut. Buah-buahan boleh diproses menjadi jus  minuman seperti jus mangga, kacang soya dan limau. Penggunaan bahan kimia membolehkan buah-buahan boleh ditinkan seperti nanas dan laici boleh ditinkan. Bahan pengawet juga membolehkan hasil-hasil ternakan ditinkan seperti kari ayam, lembu dan sambal ikan bilis. Bahan kimia boleh meningkatkan tekstur makanan yang dikehendaki seperti kek lembut, ais krim yang lebih lekit, gebu dan kenyal.

Bahan kimia dapat menambah nilai nutrisi makanan. Penggunaan agen penambah nutrisi seperti vitamin dan garam galian digunakan dalam produk tenusu, bijirin, tepung dan majerin. Penggunaan agen nutrisi ini dapat meningkatkan nilai nutrisi makanan dan mewujudkan sumber makanan yang seimbang.

KESAN SAMPINGAN PENGGUNAAN BAHAN KIMIA

 Penggunaan bahan kimia menyebabkan penyakit berbahaya. Penggunaan secara berlebihan oleh pengeluar makanan boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada pengguna, misalnya asid benzoik yang digunakan sebagai pengawet dalam sos cili dan jus buah-buahan secara berlebihan boleh mengakibatkan gangguan saraf. Penggunaan pewarna yang berlebihan boleh mengakibatkan penyakit kanser, kencing manis, buah pinggang, gastrik dan lain-lain lagi.

Keracunan juga boleh berlaku akibat mengambil makanan yang menggunakan bahan kimia berlebihan. Makanan yang mengandungi perasa dan pewarna yang berlebihan boleh menyebabkan sakit perut, muntah-muntah dan cirit birit. Dalam kes keracunan yang teruk boleh menyebabkan kematian.

Penggunaan bahan kimia yang berlebihan juga boleh menyebabkan ketagihan. Kandungan kafein dan alkohol dalam makanan boleh menyebabkan penggemar makanan berkenaan ketagih. Penggunaan yang berterusan boleh menyebabkan ulser.

Penggunaan bahan kimia tertentu dalam makanan boleh menjejaskan tumbesaran. Kandungan aluminium, plumbum dalam makanan ringan boleh menyebabkan tumbesaran terjejas dari segi mental dan fizikal.

Bahan kimia yang digunakan dalam makanan juga boleh menyebabkan alahan. Bahan Tartazin (E102) yang digunakan dalam memproses makanan boleh menyebabkan gatal kulit yang amat sangat serta mengkibatkan pembengkakan sesetengah tisu lembut seperti kelopak mata, bibir, lidah dan tangan.

Penggunaan bahan kimia dalam makanan menjadi pemangkin kepada industri makanan dan pemprosesan makanan. Namun tanpa pemantauan dan penguatkuasaan dari pihak berkuasa akan mewujudkan suasana yang tidak sihat akibat penggunaan yang tidak mengikut peraturan.

2 comments: